Warkah Usang

Puisi bagiku sebuah kerajaan yang luasnya tiada batas...
Aku menulis untuk menuangkan isi dalam fikirku yang selalu memberontak ingin dikeluarkan.
Aku menulis bukan bererti aku ini ahli bahasa.
Aku menulis bukan bererti aku ini adalah orang pintar.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar mewah.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar nama.
Tetapi aku ini adalah tanah liat yang diberi nyawa oleh Tuhanku.

Kerna aku bukan golongan yang petah percakapannya cuma berpuisi sahaja.

Gurindam Lara

Sabtu, 28 Januari 2012

wahai pemuja segala rasa
kita ini tiada apa
buat apa dikejar jua
tak bosankah melihat kita melata

wahai gemala pendeta jiwa
bajai kita dengan rasa
jemu sudah mengharap dewa
tak pernah turun menjamu doa kita

wahai badan penumpang lara
tak bisakah dienyah kata
sampai kita langsung tak ada daya
bila hampir pada penamat tanda

Suka Suka

Jumaat, 27 Januari 2012

dia suka buat aku sakit
bila dia memandangku dengan senyum
bila dia ketawa,
bila dia marah,
bila dia merajuk,
sakit untuk menolak rasa yang beraja dalam dada

dia suka buat aku diam
bila dia mula mahu pergi,
bila dia berpaling,
bila dia melangkah,
bila dia hilang,
diam untuk mengatakan tidak untuk menghalang

dia suka buat aku bermimpi
bila dia temani tidurku tiap hari,
bila dia berdodoi menyanyi,
bila dia memeluk ku dari sisi,
bila dia membantalkan lenganku di kiri,
mimpi untuk lena sepanjang malam sampai pagi

Mistik Romantis

Jumaat, 20 Januari 2012

manusia yang punya hati tapi diam bungkam tanpa romantis
itu aku
justeru kata manis aku simpan kedap
dan menunggu kamu membaca mataku

aku sisikan duduk, meminta kamu renung dalam
dan aku luahkan terus masuk ke hati kamu
dan membiar kamu sendirian menyusun ayat yang bertaburan dan
berserakan yang aku simpan

memahami aku tidak senang
tapi untuk mendekati kamu
itu lebih payah dari ujian kira-kira tahap tinggi
 lewat persekolahanku

tapi aku masih mahu senyum
kalau sehanya kau aku sekadar berjabat pandang
lebih dari cukup
hampir kepada puas.....

Hamba & Sang Puteri

Khamis, 19 Januari 2012

menajamkan mata kearahnya
buat aku diam tak berpaling
dan di setiapnya itu aku rasa cinta
dari seorang hamba buat sang puteri


dan pada pandangan itulah
buat aku mahu beraja di hatinya


pada kata pertama aku kerat sebelah hatiku
dan aku hulurkan padanya untuk disimpan
sampai datangnya mati


dari tangannya yang menghulur terima
kepada tangannya itu juga aku sarung manis tanda
janji dua jiwa
melompat terbang ke syurga