Warkah Usang

Puisi bagiku sebuah kerajaan yang luasnya tiada batas...
Aku menulis untuk menuangkan isi dalam fikirku yang selalu memberontak ingin dikeluarkan.
Aku menulis bukan bererti aku ini ahli bahasa.
Aku menulis bukan bererti aku ini adalah orang pintar.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar mewah.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar nama.
Tetapi aku ini adalah tanah liat yang diberi nyawa oleh Tuhanku.

Kerna aku bukan golongan yang petah percakapannya cuma berpuisi sahaja.

Dusun Tua

Sabtu, 31 Mac 2012

terlalu lama selepas kali terakhir
berpijak di dusun tua
mengutip hasil buat mengisi perut
dan lebihan dijual di gigi jalan

dari belakang pintu
di balik tabir aku perhati
seorang tua dengan seribu kedut di muka
dan bertimbun urat di lengan layunya
elok mengadap ke luar tingkap

menghala ke dusun dulu mainannya
dengan rokok berhembus kiri dan kanan
mencari sisa yang kalau-kalau tertinggal

dan yang terlihat cuma ranting tak seberapa
daun kering melata
dahan separuh mati di sebahagiannya

dan bertahun mendatang
ia bakal jadi tanah rata
penuh pembangunan entah apa-apa
membuang nama pusaka

0 Caci Maki:

Catat Ulasan