Warkah Usang

Puisi bagiku sebuah kerajaan yang luasnya tiada batas...
Aku menulis untuk menuangkan isi dalam fikirku yang selalu memberontak ingin dikeluarkan.
Aku menulis bukan bererti aku ini ahli bahasa.
Aku menulis bukan bererti aku ini adalah orang pintar.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar mewah.
Aku menulis bukan bererti aku mengejar nama.
Tetapi aku ini adalah tanah liat yang diberi nyawa oleh Tuhanku.

Kerna aku bukan golongan yang petah percakapannya cuma berpuisi sahaja.

Dusun Tua

Sabtu, 31 Mac 2012

terlalu lama selepas kali terakhir
berpijak di dusun tua
mengutip hasil buat mengisi perut
dan lebihan dijual di gigi jalan

dari belakang pintu
di balik tabir aku perhati
seorang tua dengan seribu kedut di muka
dan bertimbun urat di lengan layunya
elok mengadap ke luar tingkap

menghala ke dusun dulu mainannya
dengan rokok berhembus kiri dan kanan
mencari sisa yang kalau-kalau tertinggal

dan yang terlihat cuma ranting tak seberapa
daun kering melata
dahan separuh mati di sebahagiannya

dan bertahun mendatang
ia bakal jadi tanah rata
penuh pembangunan entah apa-apa
membuang nama pusaka

Salam

Jumaat, 16 Mac 2012

salam
untuk hari yang terang
dan mahu setiap yang akan datang masih begitu
biar beriring suasana yang lucu
jangan biar waktu yang senggang
sampai malam

Perempuan Dari Langit I

Jumaat, 9 Mac 2012

terbangkan aku
dengan sayap yang kau kait di setiap cintamu
yang kau simpan di langit di balik awan kelabu

sedarkah??.... masa kau baru ada
aku cuma melangut di hujung puncak dahan pokok
memandang ke langit

bila mula mahu berperasaan itulah
kau campakkan talian berikat-ikat turun ke depan ku
mengajak aku memanjat ke atas
tapi cuma separuh yang aku mampu
dan aku gugur ke bawah di tahan dahan besar

dan aku masih tunggu
bila hujan mengirim pesan mengarah aku menunggu
sayapmu siap dikait untuk dikirim
padaku

Bisu

Rabu, 7 Mac 2012

aku tunduk membisu
melarikan wajah di sisi pandangan kamu
dan kaku
dan mahu
lari jauh jauh
selagi darah kaki tak beku

tak mahu lagi malu
bila kau kata bukan aku
bila hanya kamu
aku mahu

Dunia

Khamis, 1 Mac 2012

dalam ruang yang sempit ini
kita selalu lupa luas dunianya
selama kau memekik dan berdengung
dunia masih hidup

balunkan kaki mu ke tanah
masih adakah ruang yang masih kau tak pijak?
dalamkan nafasmu, adakah sesak dada kau
lihat setia incinya ruangan
adakah sebahagian yang masih belum melekat di mata

bergembiralah....seadanya dunia
jangan kau haloba
dan jangan kau berbuat durja

Kata-Dasar-Hati-Kazat

- Aku percaya setiap dari kita punya takdir sendiri.Kuasa bukan di tangan manusia, kerana dunia ini adalah penjara kecil terindah ciptaan Ilahi -

Hak Gua - Bukan Utk Diciplak


Kalau mahu diambil, mohon keizinanku...tapi kalau lu malu....kreditkan namaku, supaya kredit ku tak habis...
© KARL KAZAT